Diocese of Keningau
P.O.Box 256, 89008
Keningau, Sabah, Malaysia
PESAN KRISMAS 2011
Dalam suasana kemeriahan Krismas ini jangan kita lupa erti sebenar perayaan Krismas. Inti perayaan Krismas dapat kita kenali den hayati sebagaimana dijelaskan oleh injil Yohanes 3:16-21 "Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan anak-Nya yang tunggal...
Kelahiran Yesus yang kita rayakan pada hari Krismas mengingatkan kita mengenai inisiatif Allah mengasihi, menyertai dan mendampingi kita umat manusia selama-lamanya( Mat 1:23, 28:20). Perancangan yang dilakukan oleh Allah untuk merapatkan diriNya kepada manusia memakan masa begitu lama dengan berbagai-bagai cara dan melibatkan nabi-nabi (Ibrani 1:1). Namun apabila Allah datang melalui Yesus PuteraNya, Dia tidak di kenali dan tidak disambut (Yoh 1:10-11).
Saya percaya masa Adven sedikit sebanyak telah membantu kita menyedari mesej sebenar Krismas, iaitu ungkapan cinta kasih Allah terhadap kita manusia. Kerana itu cinta kasih Allah ini patut dan perlu kita tanggapi dalam hidup kita sehari-hari dengan menyedari dan mensyukuri kehadiranNya.
Beberapa hari selepas perayaan Krismas kita akan masuk dan menyambut Tahun baru 2012. Apakah cabaran-cabaran yang kita hadapi sepanjang tahun 2012 kita tidak tahu. Akan tetapi jika kita menyedari, mengenal dan yakin bahawa Tuhan mengasihi kita dengan menyertai dan mendampingi kita dalam hidup kita sehari-hari, pasti hidup kita akan bererti walau apapun cabaran yang kita hadapi.
Dengan adanya keyakinan pada kita bahawa Tuhan hadir dan mendampingi kita maka usaha-usaha kita dalam membangun relasi cinta kasih dengan-Nya tentu akan menjadi pilihan dan keutamaan. Berdoa secara peribadi dan bersama, hadir dan turut serta dalam perayaan Ekarisiti, Saat Teduh dan Adorasi serta lain-lain aktiviti rohani tidak akan kita rasa sebagai bebanan, membosankan dan buang masa, tetapi sebagai suber kesegaran dan pemantapan iman kita.
Dalam era IT dan globalisasi ini pengaruh-pengaruh negatif media massa terutama internet jika disalah guna boleh membuat sesorang kehilangan sifat-sifat Allah pada dirinya (Kej 1:26-27). Ketagihan dan diperhambakan oleh bahan-bahan lucah yang begitu mudah dilayari dalam internet mengakibatkan banyak gejala sosial berlaku dalam masyarakat, mengakibatkan keruntuhan akhlak serta pengaruh-pengaruh negatif terhadap anak-anak muda mahupun dewasa dan institusi keluarga.
Masa krismas ini adalah kesempatan rahmat bagi kita untuk membaharui dan memantapkan terus relasi cinta kasih kita dengan Tuhan. Yesus adalah "Cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia (Yoh1:9) Hidup kita sehari-hari perlu diterangi oleh kehadirian Yesus supaya tidak terpedaya oleh tarikan-tarikan duniawi, sentiasa berani menolak yang jahat dan memilih yang baik.
Marilah kita menyambut perayaan Krismas dengan tekad agar kesatuan dan kesetiaan kita terhadap Yesus, Cahaya dunia memantapkan terus iman kita serta keluarga untuk menghadapi apapun cabaran iman sepanjang tahun 2012.
SELAMAT HARI KRISMAS DAN TAHUN BARU 2012
RT.REV BISHOP DATUK CORNELIUS PIONG
BISHOP OF KENINGAU DIOCESE
SABAH MALAYSIA