Para peserta RICH bersama Fr. Bede, Seminarian Louis & Komisi Belia |
TAMBUNAN - Pada 04 hingga 24 Januari
2015 yang lalu, program RICH kali ke-2 telah dilaksanakan dengan jayanya
bertempat di Gereja St. Anthony, Patau. Seramai 25 orang belia yang datang dari
sekitar Kg. Patau dan beberapa paroki di Keuskupan Keningau telah menyertai
program yang diadakan selama 3 minggu ini. Objektif bagi program RICH (Rooted
In Christ) ialah membentuk para belia secara ‘(W)holistic’, membantu para belia
untuk melihat perkembangan serta nilai diri dan iman masing-masing dan juga
menerapkan budaya membangun iman di dalam peribadi belia itu sendiri.
Program ini dibahagikan kepada 2 fasa di
mana fasa pertama Pembentukan Dasar Peribadi manakala fasa kedua ialah Pastoral
dan Theological. Fasa pertama lebih berfokuskan mencari identity diri sendiri
dan mengenalpasti bakat-bakat yang tersimpan di dalam diri mereka. Sesi “I am
special” yang dikendalikan oleh Sdri. Anna Theresa dari Keuskupan Sandakan dan
Sdri. Cecilia Ong dari Sibu, Sarawak membantu para peserta melihat dan
‘mengali’ keistimewaan dalam diri mereka.
Dalam fasa kedua pula, para peserta didedahkan
dengan pelayanan pastoral yang mencakupi pengetahuan tentang Misi & Gereja
serta perancangan pastoral yang dikendalikan oleh Fr. Ronnie Luni, Fr. Roney
Mailap dan Sdri. Roselinah Francis. Para peserta juga berpeluang mempraktikkan
apa yang telah mereka terima dalam kedua-dua fasa melalui aktiviti ‘Exposure’
di mana mereka di hantar ke beberapa buah KKD di sekitar Paroki Holy Cross,
Toboh dan tinggal bersama keluarga angkat selama 4 hari serta melaksanakan
aktiviti yang telah mereka rancang untuk umat di KKD tersebut.
Sepanjang program RICH, para peserta
tinggal bersama sebagai satu komuniti dan diberikan tanggungjawab dalam
tugasan-tugasan harian seperti memasak, menjaga kebersihan, memimpin doa-doa
dan puji-pujian, mengendalikan persiapan misa kudus dan sebagainya. Hidup
berkomuniti membantu para peserta untuk menghidupi Yesus dalam pelayanan,
saling bekerjasama, saling mengambil berat di antara satu sama lain dan
melakukan tugasan dengan kerendahan hati. Dalam proses pembentukan ini, para
peserta dibantu oleh Fr. Roney Mailap selaku Koordinator program RICH, Sdri.
Roselinah Francis selaku Pengerusi Komisi Belia dan Sdra. Roney Eming dari
pejabat Komisi Belia Keuskupan Keningau.
Program RICH ke-2 menutup tirainya
dengan setiap peserta membacakan komitmen pelayanan mereka di hadapan paderi
dan para umat dalam Misa Penutupan RICH 2 dan diraikan dalam fellowship selepas
itu. Persahabatan yang terjalin selama 3 minggu membuatkan para peserta berat
hati meninggalkan program ini sehinggakan ungkapan “saya tidak mahu pulang”,
“masa berlalu dengan cepat” atau “saya belum puas lagi dalam ini program”
sering diungkapkan. Program RICH ini juga turut memberi kesan kepada umat-umat
di KUK St. Anthony Patau yang tidak pernah ketinggalan menghadiri misa harian
bersama peserta RICH setiap pagi atau petang dan bermurah hati menderma wang
ringgit dan bahan makanan seperti beras
dan sayur-sayuran. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam pelaksanaan
program RICH 2.
Tuhan memberkati kita semua. Amen.
Upacara pemotongan Kek diketuai oleh Fr. Roney Mailap sebagai ungkapan syukur kejayaan RICH 2 |