Friday, April 26, 2013

Surat Pastoral


Saudara saudari dalam Yesus Kristus yang bangkit.
Dalam suasana Paska kita bersyukur dan bersaksi bahawa "memang benar Tuhan sudah bangkit" (Luk 24:34). Dia bangkit ertinya hidup, menyertai dan mendampingi kita sepanjang perjalanan hidup kita (Mat 28:20). Kebangkitan Kristus bagi kita yang percaya kepadaNya juga akan menyedarkan kita bahawa hidup ini sentiasa bermakna walau apapun cabaran dan keadaan yang kita hadapi. Oleh itu marilah kita sentiasa mahu memilih menyatukan diri kita denganNya (Yoh 15:4-5; Kol 2:6-7).
Tahun Iman yang sedang kita sambut adalah satu kesempatan rahmat dalam memantapkan iman Kristiani kita. Tidak cukup dengan hanya menerima Sakramen Pembaptisan. Kita perlu membaharui dan menetapkan janji-jani Baptis kita setiap hari. Dari Sakramen Pembaptisan kita perlu terus "berakar umbi dalam Dia dan dibangun diatas Dia" (Kol 2:7). Bagaimana seseorang itu dapat berakar umbi dalam Kristus dan dibangun diatas Dia? Seseorang itu perlu taat menyatukan diri dengan peribadi Yesus melalui doa, FirmanNya, Ekaristi, Sakramen-Sakramen, hidup berkomuniti serta mahu dikuasai Roh Kudus (Yoh 14:26; 2 Tim 1:6-7). Gaya hidup yang mengutamakan kesatuan dengan peribadi Yesus akan menjamin identiti dan integriti hidup Kristiani kita sentiasa bersaksi bagi Dia.
Marilah kita umatNya (Paderi, Religius dan Awam) taat mendengar suaraNya agar kita sentiasa dapat mengenal kehadiran dan kehendakNya serta taat mengikutNya (Yoh 10:27).
Selaku pengikut-pengikut Yesus dan anggota-anggoata GerejaNya, marilah kita ambil peduli dengan perkara-perkara berikut:
1. Perayaan Ulang Tahun ke 20 Keuskupan Keningau
Marilah kita datang bersama merayakan Hari Kesyukuran kita ini. Melalui Perayaan Ekaristi dan Fellowship kita mengungkapkan syukur kita kepada Tuhan atas bimbingan dan perlindunganNya dalam perjalanan Iman dan perjalanan hidup kita selama ini. Melalui perayaan UTK ke-20 ini kita juga yakin bahawa Tuhan menyertai dan mendampingi kita ke arah pemantapan iman supaya komited bersaksi bagi Kerajaan Allah. Kita doakan bersama agar perlindungan Tuhan menguasai segala usaha yang dijalankan sebelum, semasa dan sesudah perayaan.
Tarikh Perayaan UTK ke-20 : 4hb Mei, 2013
Tempat: Paroki Sto. Yohanes Pembaptis Sipitang
Masa: Jam 10.00 pagi (Misa Kudus)

2. Pilihan Raya Umum ke-13
     Tarikh membuang undi jatuh pada Hari Minggu, 5hb Mei 2013. Jangan kita lupa bahawa Hari Minggu adalah Hari Suci bagi kita Umat Kristian. Kita wajib datang menguduskan Hari Tuhan sebelum membuang undi. Di setiap Paroki dan Mission akan diadakan Misa Sunset atau Misa Petang Hari Sabtu untuk Liturgi Hari Minggu. Oleh itu ambillah masa untuk datang menguduskan Hari Tuhan dengan menghadiri Misa Sunset, lebih-lebih bagi mereka yang harus bertugas pada hari tersebut atau mengundi di kampong atau daerah masing-masing. Namun pada hari Minggu tersebut 5hb Mei, Misa Kudus dan Ibadat sabda dijalankan seperti biasa di setiap Paroki/Mission, Zon dan KUK.
Mengapa kita mengundi? Mengundi adalah hak kewarganegaraan kita sebagai rakyat Malaysia. Dengan mengundi kita ambil peduli dan ambil peranan menentukan agar kepentingan bersama kita rakyat Negara ini dapat dilindungi.
Undi kita berpandu kepada apa? Undi kita perlu berpandu kepada semangat kebenaran, keadilan, solidarity dan kebebasan, ingatlah supaya undi kita berpandu kepada:
v  Nilai-nilai yang berasas kepada Kitab Suci dan Ajaran Gereja
v  Etika hormat kepada martabat manusia, hormat kepada hak-hak asasi manusia dan perlindungan terhadap Alam Ciptaan Tuhan
v  Calon-calon yang memperjuangkan kesejahateraan umum bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, anutan agama, jantina dan latar belakang ekonomi seseorang atau komuniti itu.
Sama-samalah kita berdoa agar proses Pilihan Raya ke-13 berjalan dengan adil dan dalam perlindungan Tuhan. Selaku Umat Kristian undi kita bukan hanya sulit tetapi perlu suci. Kita perlu berdoa sebelum membuang undi supaya undi kita dapat kita laksanakan menurut suara hati yang dibimbing oleh Roh Kudus.
 "Pemantapan Iman Umat Allah Komited Bersaksi Bagi Kerajaan Allah"


RT.REV BISHOP DATUK CORNELIUS PIONG
BISHOP OF KENINGAU DIOCESE
SABAH MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...