Bersatu, Bersama dan Melayani dengan Yesus
”Pelayanan Belia pada masa kini merupakan satu pelayanan yang sangat mencabar. Sebagai pelayan belia kita harus sedar dan menerima kenyataan bahawa pengaruh media massa terhadap para belia tidak akan pernah berhenti. Di antara nilai yang dipromosikan oleh media massa ialah budaya materialistic dan hedonistic yang dilihat oleh ramai belia sebagai sesuatu yang syok!!! Namun tidak menyedari keseronokkan itu hanyalah sesuatu yang sementara. Tekanan dan ancaman ini bukan sahaja datang kepada para belia dilayani tetapi juga kepada kita sebagai pelayan belia. Ini menjadikan pelayanan belia itu agak berbeza dari sedikit masa yang lalu.
Bagaimanakah harus kita menjalani pelayanan ini agar kita tidak turut hanyut dalam arus duniawi? Kita harus sentiasa Bersatu, Bersama dan Melayani dengan Yesus. Maka menyedari keperluan inilah di Keuskupan Keningau, sebagai pelayan Gereja, selain menghadiri Misa Kudus, kita semua digalakkan untuk hadir ke Penyembahan Sakramen Mahakudus, Adorasi atau Saat Teduh yang diadakan setiap minggu di gereja. Memohon agar dikuasai terus oleh Dia dan Roh Kebijaksanaan-Nya dan seterusnya hidup dalam kesatuan dengan Yesus. Ini kerana hanya bersatu dengan Yesus akan menjamin kualiti kepimpinan yang baik. Yang tidak mementingkan glamour, kedudukkan dan penghormatan, namun dapat menghasilkan buah yang baik, pelayanan yang mampu melahirkan generasi pelapis.
Adalah perlu untuk tetap melayani bersama Yesus dan dengan Dia. Kita perlu belajar untuk mengenal wajah Yesus pada sesama Tim dan mereka yang dilayani. Bersatu dan Bersama Dia juga bermaksud kita dituntut untuk melayani dengan penuh cinta kasih. Hanya dengan kasih kepada Yesus sahajalah yang dapat meneguhkan komitmen kita pada pelayanan, menjadikan kita seorang yang komited dan bahagia dalam pelayanan ini”. Demikianlah kata Bapa Uskup Cornelius Piong semasa upacara perlepasan janji komitmen Team Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau, pada 28 Mac 2009 yang lepas.
Tarikh tersebut menjadi sejarah buat Keuskupan Keningau kerana menyaksikan seramai 10 orang belia melepaskan janji komitmen di hadapan Bapa Uskup dan umat untuk terus melayani dalam Komisi Belia untuk jangkamasa tiga tahun 2009-2011. Tim ini telah dibentuk pada 13 Januari yang lepas, yang diketuai oleh Rev. Fr Rudolf Joannes sebagai Pembimbing Rohani, saudara Wilfred James sebagai Kordinator Belia Keuskupan dan dibantu oleh Sr. Alice Lopez, Fsic, Sr. Tina Basil, Fsic, Sr. Julita Joseph, Fsic, Cikgu Christine Kinsik, Kateksis Alexius Singgit, Cikgu Baxter Henry, Cikgu Narius Kubin dan Dikon Ronnie Luni.
Pada masa yang sama, Bishop Cornelius juga mengharapkan agar Tim ini dapat menjadi sama seperti Yesus yang datang bukan untuk dilayani tetapi melayani. Disamping itu bukan mencari masa untuk Yesus, tetapi memberikan masa untuk datang kepada Dia melalui doa peribadi, mendalami firman-Nya dan apa jua medium yang ada bagi mengeratkan diri dengan Yesus, agar dikuasai terus oleh Dia. Dan yang paling utama tetap menjadikan Yesus sebagi model dalam pelayanan. Selamat melayani kepada semua Tim dan Tuhan memberkati anda semua!!!
Oleh: d’Dean
No comments:
Post a Comment