Cambodia Mission:
Leadership Training Program
Cambodia, Phnom Penh Vicariate, Youth Office
Para peserta Leadership Training Program bersama Bishop Olivier |
Pengalaman sebagai salah seorang team pelaksana Leadership Training Program yang diadakan di Phnom Penh Vicariate, Cambodia pada 1-9 April merupakan anugerah dan hadiah Paskah terindah yang sangat berharga saya alami. Di dalam program ini yang bertemakan “Towards a New Life” secara keseluruhannya memberikan tumpuan kepada beberapa kemahiran asas dalam memimpin belia melalui bengkel, pengajaran, renungan firman, testimony, dan pembelajaran berlandaskan pengalaman. Peserta-peserta yang terlibat adalah para belia dari paroki-paroki di sekitar Phnom Penh Vicariate yang berpotensi menjadi pemimpin di paroki mereka masing-masing.
Sebahagian Ajk Pelaksana Leadership Program |
April 1-3 merupakan program khusus (Training of Trainees) yang diberikan kepada semua AJK pelaksana. Leadership Training Program kepada peserta bermula pada 4-9 April. Terdapat 43 peserta yang berumur di antara 17-25 tahun menyertai program ini. Antara sesi yang diberikan adalah “Experience of life, Crazy Dream, Darkness/Experience of death, Experience of God, Plan of Salvation, Jesus Christ, Passover dan Ministry of Presence”. Menerusi program ini para peserta di bimbing untuk melihat pengalaman hidup peribadi mereka sendiri. Persoalan “What is lacking or has been lacking as the most essential in my life?”, “What is the experience when you felt you were at the best of yourself?”, “What is my crazy dream?”, “What are the prisons that wound me?” adalah antara soalan-soalan renungan yang diberikan. Para peserta kemudian dibimbing untuk melihat penyelamatan oleh Yesus Kristus menerusi dramatari dan sesi yang bertajuk “Moving Forward in your new life with Jesus Christ”. Seterusnya, peserta-peserta berpeluang menyatakan komitment mereka melalui ritual (Passover ritual) di hadapan salib Yesus yang kemudian di persembahkan di dalam Misa Kudus. Kemuncak kepada program tersebut adalah sesi berkaitan Taize dan doa taize di adakan pada waktu malam yang dipimpin oleh bro. Gillan dan bro. Andreas (from Taize).
Sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan |
Apa ertinya “Cambodia Mission” ini bagi saya…
Merenung kembali pengalaman yang saya lalui sepanjang program ini, saya sungguh-sungguh kagum dan bersyukur kepada Tuhan Yesus kerana rahmat kekuatan yang Dia berikan kepada saya. Pada hari pertama di Negara ini keadaan fizikal saya amat lemah dan ianya berterusan sehingga ke akhir program tersebut. Namun, cara Tuhan Yesus menyembuhkan begitu ajaib. Kehadiran para peserta ke program ini memberikan kekuatan yang luarbiasa kepada saya. Walaupun keadaan fizikal yang lemah, saya masih mampu menyertai program ini sepenuhnya. Tuhan menyembuhkan jiwa saya melalui mereka.
Apakah misi saya sebagai seorang belia? dan secara khususnya sebagai belia kristian? Persoalan ini seringkali menghantui dan menuntut saya mencari jalan penyelesaian. Selama 9 hari bersama dengan peserta-peserta program di tempat ini membuka mata hati dan telinga saya untuk melihat dan mendengar erti misi dan gereja secara lebih mendalam. Sembilan hari bersama, sekali lagi menuntut saya untuk KEMBALI kepada SUMBER HIDUP yang paling asas, YESUS KRISTUS. Saya mula menyedari betapa kritikalnya saya bergelar belia dan bukan setakat belia sahaja tetapi sebagai BELIA YANG BERGELAR KRISTIAN untuk kembali kepada SUMBER ini.
Wheel of life with Jesus as the centre |
Sesi “Moving Forward in your new life with Jesus Christ” yang disampaikan oleh Manny San Luis (Fondacio, Philippines) memberi inspirasi kepada saya untuk mengenali Yesus lebih mendalam. Dalam sesi ini, beliau memberikan 8 perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan kehidupan sebagai kristian sentiasa berjalan bersama Yesus Kristus.
i. Doa peribadi
ii. Merayakan sakramen-sakramen
iii. Renungan firman Tuhan
iv. Hidup berkomuniti
v. Pembentukan
vi. Ministry/service
vii. Evangelisasi
viii. Pengembalaan (memimpin orang lain)
Merenung kembali 8 perkara ini mengingatkan saya akan misi Dioses iaitu Kita Umat Allah Dioses Keningau yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus komited untuk taat berdoa, menghayati Sabda Allah, merayakan sakramen-sakramen, hidup berkomuniti, memperjuangkan keamanan, keadilan dan cinta kasih, serta keharmonian alam ciptaan Tuhan. Sesi ini menuntut saya melihat dan berhadapan kembali dengan kehidupan lalu saya sebagai belia di tempat saya sendiri dan pengalaman sebagai seorang guru. Saya menyedari misi ini tidak pernah saya titik beratkan dalam hidup seharian dan pengalaman bersama rakan belia yang lain menyedarkan saya bahawa misi ini tidaklah begitu dibincangkan. Namun pada saat ini saya berharap misi ini bukanlah setakat “ayat” yang perlu dihafal tetapi benar-benar dihidupi. Saya percaya belum terlambat bagi peribadi saya untuk menghidupi dan menjadikan misi ini sebagai misi dalam pelayanan saya.
Penyerahan diri di hadapan salib Kristus |
Keterbukaan hati para peserta sepanjang program ini mengajar saya tentang erti kerendahan hati dalam pelayanan. Kejujuran mereka mengungkapkan kerinduan hati yang mendalam untuk mengenali Yesus menjadi saksi bahawa Allah sedang bekerja (Yoh 5:17). Komitmen mereka untuk berusaha mengenali Yesus menyebabkan saya berfikir sedalamnya identiti saya sebagai kristian, belia kristian. Bagi memperjuangkan identiti kristian di tengah-tengah dunia sekular, saya diingatkan untuk menjadikan Yesus sebagai sumber dalam kehidupan.
Sebagai belia kristian, saya bertanggungjawab meneruskan misi Yesus di dunia ini dan tanggungjawab ini menuntut saya untuk sentiasa berakar dan dibangun dalam Yesus Kristus, teguh dalam iman (kol2:7, tema SYD3). Apa yang perlu saya lakukan agar benar-benar menghidupkan Yesus? Persoalan ini mengingatkan saya kepada pesan yang seringkali diucapkan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong “Kita haruslah sentiasa kembali kepada Yesus dan harus mempunyai relasi peribadi yang erat dengan Yesus Kristus”. Pesan yang begitu ringkas namun mempunyai makna yang sangat mendalam.
Akhirnya, saya sangat bersyukur kepada Tuhan Yesus atas segala kesempatan yang diberikan kepada saya untuk lebih mengenali Dia melalui pengalaman ini. Saya bersyukur kerana Dia sentiasa mengajar saya melalui setiap individu yang saya temui.
Dialah yang memberikan kekuatan dan kerinduan di hati saya untuk terus melayani
Dialah yang menjadikan saya berseri-seri sepanjang hari
Dialah yang memampukan saya berdiri teguh dalam pencobaan
Dialah yang lebih dulu mencintai saya
Dialah yang memberikan kebebasan sepenuhnya untuk berhadapan dengan kelemahan saya
Dialah YESUS SUMBER KEHIDUPAN di dalam kehidupan saya
Semoga melalui rahmatNya saya sentiasa dikuatkan untuk meneruskan misi Kristus.
“Now we continue to be a witness. Our generation is also to become a witness”
-Mgr. Ives Ramus, Bishop Emeritus (his homily, Mass on April 07)
Selamat menyambut hari Paska,
Roselinah Francis
No comments:
Post a Comment