Oleh: Crystalie Flavia John
Paroki : St. Peter Bundu Kuala Penyu
Seketika di BMK8
Belia Masuk Kampung atau lebih dikenali sebagai BMK kali ini merupakan BMK yang ke lapan. Aktiviti ini merupakan salah satu program belia dan kebiasaannya mengambil masa selama dua minggu.
Sebelum mengikuti program ini, terdapat berbagai-bagai fikiran, perasaan dan sebagainya yang bermain di fikiran saya. Saya seringkali berfikir apakah yang akan berlaku pada diri saya jika saya mengikuti program ini. Adakah saya dapat membawa perubahan pada diri saya? Tambahan pula, lepaskan peluang untuk merayakan hari yang istimewa buat saya iaitu hari lahir saya dan sepupu saya. Rancangan untuk meraikan hari lahir bersama terpaksa dibatalkan. Syukur Tuhan, sepupu saya seorang yang memahami.
Melalui BMK8 ini, saya mendapat keyakinan untuk melangkah ke tempat yang baru. Bermula dari Misa Pembukaan, saya dapat merasakan Tuhan mahu saya membuat persediaan diri sebelum melangkah ke depan dan Dia telah siap sedia untuk mendampingi saya.
Menyertai program ini buat kali pertama, saya sangat bersyukur kerana bukan sahaja mendapat kawan baru malah berpeluang bertemu dengan tiga orang sepupu saya yang berasal dari Tambunan. Kesempatan tinggal bersama keluarga angkat merupakan anugerah yang besar dari Tuhan. Menikmati masa membersihkan, masak, makan dan berdoa bersama sangatlah indah. Pengalaman bersama keluarga angkat mengajar saya untuk bersikap rendah diri, menghormati dan menerima sesama umat Tuhan.
Menyebarkan cinta kasih Tuhan yang sungguh-sungguh besar merupakan antara dorongan Tuhan yang dapat saya rasakan melalui BMK kali ini. Selain itu, juga saya rasakan panggilan Tuhan agar saya terus setia kepada pelayanan di gerejaa, rajin mengikuti program-program gereja dan seterusnya memperkembangkan hubungan saya dengan Tuhan.
Saya amat berterima kasih atas sumbangan para AJK penganjur, kehadiran rakan-rakan BMk8 dan juga keluarga angkat, kerana melalui mereka saya dapat menikmati Kasih Tuhan. Kerna Tuhan telah menunjukan belas kasih Nya kepada saya, saya juga bertekad untuk mengongsikan Kasih Tuhan. Kerana cinta kasih Allah, dunia di selamatkan, atas kebenaran ini saya mahu turut juga dalam misteri penyelamatanNya.
No comments:
Post a Comment