Shalom dan salam kasih kepada semua. Semoga senantiasa sihat dan ceria selalu. Sedar tidak sedar kita sudah berada di bulan Februari tahun 2014. Masa berlalu begitu cepat! Pada kesempatan ini, pihak Komisi Kerasulan Belia ingin mengongsikan pengalaman sepanjang program R.I.CH yang baru sahaja berakhir pada 2 Februari yang lalu.
Apa itu R.I.CH?
R.I.CH adalah singkatan kepada Rooted In Christ, satu program pembentukan yang holistic yang telah lama dirancang oleh Komisi Kerasulan Belia. Program ini sebenarnya dirancang semasa Sem.Wilfred James masih melayani sebagai Koordinator Belia di Keuskupan Keningau. Program ini tercetus setelah 3 wakil belia dari Keuskupan Keningau iaitu Rev. Roney Mailap, Wilfred James (Koordinator Belia Keuskupan Keningau 2009-2012) dan Roselinah Francis telah menghadiri program “Strategic Pastoral Planning” di Filipina pada tahun 2010. Melalui program tersebut maka Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau bercita-cita untuk membentuk satu program pembentukan yang berterusan kepada belia di Keuskupan Keningau. Setelah melalui pelbagai proses persiapan, maka tahun 2014 merupakan tahun rahmat bagi Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau untuk memulakan Program R.I.CH ini.
Program R.I.CH selama dua minggu dalam pembentukan pada tahun ini telah diadakan di St. Anthony Patau Tambunan pada 18 Januari hingga 2 Februari 2014. Program perintis ini telah dibuka kepada pemimpin belia dari Paroki Holy Cross Toboh. Seramai 18 peserta yang telah menyertai program ini berpeluang tinggal bersama sebagai satu komuniti selama dua minggu untuk menjalani pembentukan.
Objektif R.I.CH:
1. Pembentukan secara '(W)holistic' dapat diberikan kepada para belia.
2. Para belia dapat melihat perkembangan serta nilai diri dan iman masing-masing
3. Budaya membangun iman dapat diterapkan dalam peribadi belia.
Program R.I.CH mempunyai dua fasa iaitu PEMBENTUKAN DASAR PERIBADI dan PASTORAL & THEOLOGICAL. Pada fasa yang pertama, para peserta akan mengikuti sesi-sesi pembentukan peribadi iaitu proses mengenali peribadi masing-masing serta belajar untuk melihat dan seterusnya percaya kepada segala bakat yang mereka miliki. Mereka juga dibantu dan belajar melihat keunikan rakan-rakan mereka yang lain.
Fasa kedua, peserta didedahkan dengan kemahiran pastoral dan pelayanan terutama dalam pelayanan belia. Selain daripada program yang berbentuk teoritikal, para peserta juga akan dapat mempraktikkan teori tersebut. Di dalam tempoh ini, para peserta berpeluang untuk keluar dan melakukan misi pastoral di tempat-tempat yang terpilih selama beberapa hari. Misi Pastoral ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta melihat sendiri kehidupan umat serta mampu berfikir dan bertindak berasaskan ajaran Gereja.
Hidup berkomuniti dan kerja berpasukan dihidupi sepanjang program ini berlangsung. Para peserta tinggal bersama sebagai sebuah komuniti selama dua minggu. Kebanyakan kerja-kerja dalam rumah pembentukan dilakukan oleh peserta sendiri termasuklah memasak, membersihkan kawasan penginapan, mengendalikan puji-pujian sebelum sesi bermula, membuat jadual waktu kerja dan mengendalikan petugas liturgi. Selain itu, mereka mempunyai masa untuk membuat renungan peribadi (Hening). Hening merupakan salah satu inti utama program ini, yang mana melalui keheningan, para peserta dapat belajar untuk mendengar suara Tuhan walaupun dalam kesibukan.
Program R.I.CH yang telah diadakan memberikan kesedaran bukan sahaja kepada para peserta tetapi juga umat di KUK St. Anthony Patau sendiri. Sepanjang dua minggu program pembentukan ini, umat di sekitar KUK St. Anthony berpeluang merayakan Misa Kudus setiap hari bersama dengan para peserta. Pengalaman ini mencetuskan kerinduan dalam kalangan umat sekitar St. Anthony Patau agar dapat meneruskan Misa Kudus walaupun program R.I.CH ini berakhir. Sepanjang program ini berjalan, ramai umat bermurah hati membantu terutama menderma sayur-sayuran dan beras khusus untuk program ini. Cintakasih yang ditunjukkan oleh umat di sekitar St. Anthony Patau merupakan antara petanda positif khususnya kepada Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau untuk meneruskan lagi program ini di tahun akan datang.
Sama-samalah kita berdoa agar program ini akan terus diberkati Tuhan.
No comments:
Post a Comment