Program Pertemuan Komisi Belia Katolik Keuskupan Keningau Bersama AJKT MPP KSFX
Pengerusi-Pengerusi ZON, Pengerusi-Pengerusi Belia ZON Paroki KSFX
KSFX, Keningau – “Bermula Sekali
Lagi” merupakan tema Pertemuan Tim Komisi Belia Katolik Keuskupan Keningau
bersama dengan AJKT MPP KSFX, Pengerusi-pengerusi Zon dan Pengerusi-pengerusi
belia Zon, Paroki KSFX pada 27 Julai yang lalu. Seramai 23 orang telah
menghadiri pertemuan tersebut.
Misi utama pertemuan ini diadakan
adalah untuk membantu Kerasulan Belia di Peringkat Paroki KSFX untuk berjalan
bersama dengan pemimpin gereja di Paroki KSFX sebagai sebuah keluarga di dalam
Yesus Kristus. Pertemuan yang diadakan kali pertama ini mempunyai tiga objektif
iaitu mengongsikan realiti dan situasi yang berlaku dalam Kerasulan Belia
Katolik Paroki KSFX, mengongsikan keperluan serta cabaran yang dialami KBK KSFX
dan mengongsikan Pelan Perancangan Pastoral khusus kepada Kerasulan Belia KSFX.
Pertemuan ‘Bermula Sekali Lagi’
bermula pada jam 8.30 pagi iaitu ketibaan dan minum pagi bersama disusuli
pewartaan Injil dan doa pembukaan oleh Bishop Cornelius Piong. Program
diteruskan dengan kata-kata aluan dan penerangan ringkas perjalanan program
dan objektif pertemuan oleh Koordinator
Komisi Kerasulan Belia, Sdri. Roselinah Francis.
Program Pertemuan tersebut Kemudian
diteruskan dengan perkongsian daripada Bishop Cornelius Piong yang bertajuk
Visi, Misi, Harapan Diosis Keningau. Di dalam perkongsian ini, Bapa Uskup
mengajak semua yang hadir untuk melihat kembali apa yang telah berlaku di
Keuskupan Keningau. Bapa Uskup juga telah mengongsikan Sejarah Penubuhan
Keuskupan Keningau serta cabaran-cabaran yang dihadapi ke arah penubuhan
sebagai sebuah Keuskupan.
“Pada mulanya saya tidak tahu
apa yang harus dilakukan, maka saya mengumpul semua paderi, religious dan umat
awam untuk merangka perancangan pastoral untuk Keuskupan Keningau yang
dipanggil ‘PUKAT’ – Perhimpunan Umat Katolik” – Bishop Cornelius Piong
Di dalam perkongsiannya, Bapa
Uskup juga mengingatkan agar belia KSFX selalu bersama dengan belia-belia ZON,
KUK dan KKD dengan semangat dan melakukannya dengan kehadiran Yesus. Kerana
tanpa cintakasih kepada Yesus, pelayanan itu bukan sahaja kosong tetapi mudah
lemah. Dalam pelayanan, kebersamaan dan kesatuan dengan Yesus harus ada.
Selepas perkongsian daripada
Bishop Cornelius Piong, pertemuan diteruskan dengan “Bermula Sekali Lagi” oleh
Roselinah Francis. Di dalam sesi ini, Roselinah Francis telah mengongsikan
situasi dan realiti yang berlaku di dalam Kerasulan Belia Paroki KSFX yang
memerlukan perhatian daripada semua pihak. Akhirnya, pelan perancangan pastoral
dibentangkan untuk dibincangkan bersama seterusnya disusuli oleh sesi dialog terbuka.
Dialog terbuka yang mengambil masa 1 jam 50 minit jelas menunjukkan bahawa
kesatuan diantara semua pihak amat perlu dalam perkembangan iman para belia. Program
pertemuan kemudian diakhiri dengan doa penutup oleh Fr. Ronnie Luni disusuli
oleh nyanyian lagu Wawasan, Visi dan Misi Keuskupan Keningau iaitu “Umat Allah
Berjalan Bersama”. Kemudian diikuti oleh fellowship kesyukuran Ulangtahun
Pentahbisan menjadi Imamat Fr. Ronnie Luni.
No comments:
Post a Comment