St. Valentine Beaufort - Seramai 240 orang pelayan belia berkumpul di Paroki St. Valentine Beaufort pada 15-17 November bagi menyertai program Rekoleksi Akhir Tahun Tim Pelayan Belia Katolik Keuskupan Keningau (TPBK). Objektif utama program ini adalah;
1. Agar pelayan belia dapat menilai perjalanan/pengalaman iman mereka dalam pelayanan TPBK sepanjang tahun 2013.
2. Belajar, berkongsi, disegarkan dan memperbaharui anugerah iman yang telah mereka terima sepanjang tahun 2013.
Rekoleksi dimulakan dengan sesi pendaftaran seawal jam 1430 hingga 1730, diikuti perayaan ekaristi dipimpin oleh Rev. Ronnie Luni. Dalam homilinya, Rev. Ronnie mengingatkan bahawa para belia zaman ini merupakan sasaran utama kepada serangan-serangan dan godaan si Iblis. Kerana itu perlu dan mendesak agar para belia sentiasa mempunyai relasi yang dalam dengan Yesus Kristus. Rev. Ronnie juga menegaskan bahawa gereja sangat prihatin terhadap keperluan para belia namun memerlukan kerjasama daripada mereka dan sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang lain untuk terus mengenali Tuhan Yesus.
Selepas Misa Kudus, sesi "Praise and Worship" diadakan yang dikendalikan oleh belia Paroki St. Valentine Beaufort dan disusuli dengan mesyuarat TPBK.
Hari Kedua dimulakan dengan doa pagi berbentuk "Body Prayer". Para peserta kemudian dibawa untuk melihat kembali perjalanan pelayanan mereka sepanjang tahun 2013 menerusi sesi "My Journey, Your Journey, Our Journey" oleh Koordinator Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau, Roselinah Francis. Program kemudian diteruskan dengan bengkel dan pembentangan daripada para peserta yang dikendalikan oleh Roney Eming. Melalui bengkel ini, para peserta berpeluang melakukan analisis SWOT dan seterusnya dapat mengenali identiti mereka sebagai belia di Paroki masing-masing.
Aktiviti pada waktu petang diteruskan dengan dua sesi iaitu Stages of Discipleship dan Keseimbangan dalam Pelayanan yang disampaikan oleh Roselinah Francis. Melalui kedua-dua sesi ini, pemimpin belia diajak untuk terus memberikan komitmen mereka kepada gereja dan bersedia melayani para belia di Keuskupan Keningau, tidak kira siapa pun para belia yang akan mereka temui.
Pada waktu malam, para peserta rekoleksi dihiburkan dengan persembahan-persembahan daripada semua Paroki yang terdapat di Keuskupan Keningau. Kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh setiap Paroki dalam membuat persembahan membuktikan belia di Keuskupan Keningau mempunyai bakat dan anugerah terpendam yang sangat-sangat diperlukan dalam kepimpinan belia.
Rekoleksi Akhir Tahun TPBK 2013, diakhiri dengan Misa Kudus perutusan oleh Rev. Ronnie Luni. Di dalam Misa Kudus ini, Fr. Ronnie mengajak para belia agar sentiasa menekankan dan mengikuti serta mengamalkan sikap seperti Yesus dalam pelayanan. Tuhan Memberkati!
No comments:
Post a Comment